PUTRAJAYA, 23 Ogos – Lancar….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan ikon 1Malaysia Negaraku, penjenamaan semula ikon sedia ada yang menggabungkan ikon 1Malaysia dan Negaraku, di Perdana Putra di sini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, penjenamaan itu bertujuan mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat antara dua konsep berkenaan.

“Konsep 1Malaysia sejak 27 Jun 2009 diterima sebagai satu pendekatan, falsafah dan konsep yang melambangkan hasrat kita untuk mencapai perpaduan nasional manakala baru-baru ini, inisiatif Negaraku mendapat sambutan hangat.

“Untuk mengelak kekeliruan, ia digabungkan dalam satu ikon supaya kita tidak ketepikan 1Malaysia dan hanya beri tumpuan kepada Negaraku, seolah-olah 1Malaysia tidak wujud dan ada konsep baharu,” katanya.

Perdana Menteri berharap ikon baharu itu akan diterima rakyat terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan kehangatan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ketika ini. – WD MY