KUALA LUMPUR, 21 MEI – BOMBA…. Penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Istana menghala ke Sungai Besi berhampiran Nirvana Memorial Park malam tadi.

Sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan Pudu diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mazuri Mat Zain dikejarkan ke lokasi sebaik Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur menerima laporan kejadian itu pada jam 8.47 malam.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran, berkata kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah motosikal.

“Penunggang motosikal, lelaki berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala beberapa pemandu dan penumpang kereta cedera ringan.

“Mangsa yang cedera diberi rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi, manakala mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – WD MY