KUNAK, 31 Julai – Selesai…… Pihak Polis mengambil keterangan 10 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan dibelasah beramai-ramai di padang sekolah terbabit, kelmarin.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan dibuat susulan laporan ibu mangsa, semalam.

Semalam, satu klip video berdurasi satu minit 39 saat memaparkan sekumpulan pelajar perempuan menyerang dan memukul seorang pelajar perempuan lain, tersebar di laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan padang sebuah sekolah di pekan daerah ini membabitkan pelajar Tingkatan Tiga, namun motif dan punca belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kunak, Abu Samah A Bakar, berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan mengarahkan pegawai membuat siasatan serta mengambil tindakan selanjutnya.

“Pihak polis juga sudah dimaklumkan dan siasatan masih dijalankan. PPD tiada masalah untuk membantu siasatan.

“Oleh kerana kejadian di luar kawasan dan waktu persekolahan, kami akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu bagi mengelak mengganggu siasatan. – WD MY