KUALA LUMPUR,JULAI 22: UMNO berharap rundingan antara kerajaan dengan China bagi mengkaji semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), khususnya dari segi kos dapat dicapai dengan segera demi kepentingan dan kebajikan lebih 1,000 pekerja yang terbabit dalam projek berkenaan.

Parti pembangkang itu melahirkan kebimbangan dan kesal dengan laporan mengenai nasib pekerja termasuk 70 peratus rakyat tempatan diberhentikan kerja berikutan tindakan kerajaan menggantung status projek pada 3 Julai lalu.

Menyifatkan langkah kerajaan berdolak-dalik mengenai projek itu sebagai tidak profesional, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan kerajaan itu ibarat menabur pasir ke dalam periuk pekerja selain menutup ruang penduduk di sepanjang laluan projek itu untuk menambah pendapatan.

Beliau berkata, langkah mengkaji semula kos ECRL memang harus dipuji tetapi isu kemanusiaan juga perlu diberi perhatian, termasuk nasib pekerja asing yang hilang kerja dan pendapatan untuk terus hidup di negara ini.

“Inikah kerajaan ‘adil dan berperikemanusiaan’ yang dilaung-laungkan selama ini? Menurut laporan Channel News Asia yang berpangkalan di Singapura, kesan penggantungan projek itu sudah pun dirasai oleh pekerja terbabit.

“China Communications Construction Company yang menjadi kontraktor utama projek ini, sudah pun menghantar pulang tenaga kerja separa profesional dan profesionalnya bagi menjimatkan kos,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ismail Sabri berkata, projek bernilai RM94.5 bilion itu kini dalam proses ‘tawar-menawar semula’ dengan China, dan diharap tidak dibatalkan terus seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Dalam kes HSR, Singapura memberi tempoh sehingga 31 Julai bagi Malaysia menyediakan laporan secara bertulis mengenai pembatalannya. Pertanyaan kepada Lim Guan Eng, apakah kita akan membayar balik kos yang sudah disediakan oleh republik itu, dan berapakah jumlahnya?” katanya.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak bersimpati dengan dengan nasib 1,000 pekerja terbabit, malah puluhan ribu lagi yang kehilangan kerja, sama ada dipecat dan diberhentikan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pembinaan ECRL amat dinanti-nantikan oleh penduduk Pantai Timur dan projek itu dijangka dapat mengurangkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Katanya, projek itu juga akan membangunkan bandar kecil yang mempunyai stesen persinggahan.

“Sebagai contoh di Temerloh, di mana ramai yang akan berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur atau Kuantan kerana jangka masa yang singkat menggunakan ECRL.

“Kesannya sektor perumahan akan berkembang dan tanah penduduk luar bandar akan meningkat nilainya. Selain itu, perniagaan usahawan kecil akan berkembang.

“ECRL akan menjadi medium pengangkutan terbaik kepada penduduk Pantai Timur, terutama di Kelantan. Jika sewaktu hari raya untuk sampai ke Kelantan memakan masa 12 hingga 15 jam maka dengan ECRL hanya tiga setengah jam sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap, kerajaan tidak menghukum rakyat di Pahang, Terengganu dan Kelantan hanya kerana mereka memilih pembangkang.-MY WD