KUALA LUMPUR, 12 Julai – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor melancarkan Malam Likur@Dataran Merdeka.

Menurut Tengku Adnan, pencahayaan sebanyak 1,000 pelita yang menggunakan
mentol dan bateri itu akan dinyalakan mulai malam ini sehingga 17 Julai, dari 7
malam sehingga 12 tengah malam.

“Tujuan pelita ini dinyalakan adalah untuk memeriahkan dan mewarnai suasana
pada waktu malam di Kuala Lumpur serta ia juga sebagai simbolik kegembiraan
warga kota menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan pada masa yang sama
sebagai daya penarik kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyalakan suis lampu
pelita di tengah-tengah Dataran Merdeka malam ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan
Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn Bhd (Mydin Holdings) Datuk Ameer Ali Mydin.

Mydin Holdings menyumbangkan sebanyak 1,000 unit pelita kepada Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk acara Malam Likur@Dataran Merdeka.

Selepas majlis berbuka puasa, Tengku Adnan bersama-sama warga kota
menunaikan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih berjemaah di Dataran
Merdeka.

Tambah Tengku Adnan, Malam Likur@Dataran Merdeka itu adalah anjuran Unit
Pelancongan DBKL sebagai antara aturcara dalam Pelan Induk Pelancongan Kuala
Lumpur 2015-2025.

“Dalam masyarakat Melayu terutamanya di luar bandar dan kampung, pelita
dinyalakan dalam bulan Ramadan dan malam 1 Syawal, ia juga digunakan untuk
menyambut kepulangan saudara-mara dan adik-beradik ke kampung halaman untuk
meraikan bersama-sama Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Ia juga bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah
menjelang malam-malam terakhir menjelang bulan Syawal, katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY