JAKARTA, 17 APRIL – TAWAR….. Lebih 10,000 orang menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk menjadi ‘ejen pemberi maklumat’ dari pusat pembuangan undi di seluruh Indonesia, semalam.

Langkah terbaru itu adalah usaha murni mereka bergandingan tenaga untuk mematahkan percubaan penipuan oleh pihak tertentu sepanjang tempoh pengundian sehari itu.

Sebuah pertubuhan yang dinamakan Kawal Pemilu berjaya mengumpul sukarelawan dari seluruh kawasan di negara kepulauan itu untuk memuat naik gambar keputusan pengiraan undi pada laman webnya bagi memastikan ia padan dengan kiraan rasmi.

Keputusan yang dilaporkan orang ramai pada laman KawalPemilu.org itu kemudian dimasukkan dalam kiraan secara manual oleh pertubuhan terbabit.

“Kami berharap untuk menjadi pelan sokongan data untuk pilihan raya ini. Bagi memastikan ketelusan dan menghalang penipuan, lebih 10,000 sukarelawan yang sudah disahkan.

“Ada antara 3,000 hingga 5,000 sukarelawan lain juga sudah berdaftar atas talian yang bakal turut serta menjadi ‘pengawal pilihan raya’,” kata pengasas bersama Kawal Pemilu, Elina Ciptadi.

Difahamkan, semua sukarelawan itu perlu memberi nama dan profil Facebook masing-masing.

Selain itu, kira-kira 2,000 sukarelawan lagi, kebanyakan warga Indonesia yang bekerja di luar negara akan bertugas sebagai moderator untuk memasukkan data. – WD MY