KUALA LUMPUR, 11 Jan – TAHAN…. ¬†Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan 11 individu, termasuk seorang pegawai teknik Telekom Malaysia (TM) kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dan rasuah, antara RM4 juta dan RM6 juta.

Difahamkan, aktiviti berlaku di antara 2016 dan Mac 2017. Semua suspek disyaki bersubahat dan terbabit mengemukakan 55 dokumen ‘Maintainance Order’ dan surat kebenaran mengambil kabel mengandungi butiran palsu kepada TM, dipercayai untuk mengeluarkan kabel dari gudang syarikat berkenaan.

Sumber memaklumkan, operasi menahan semua suspek dilancarkan jam 2 petang hingga 6.30 petang semalam di beberapa lokasi, antaranya Batu Caves, Damansara Damai, Kajang dan Seri Kembangan, selain di Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, pegawai teknik TM berusia 40 tahun itu ditangkap di Taman Puncak Utama, Kajang dan selebihnya tiga pemilik syarikat kontraktor, masing-masing berusia 37 tahun, 42 tahun dan 30 tahun.

“Turut ditahan, seorang subkontraktor berusia 47 tahun dan bekas pekerja syarikat telekomunikasi berusia 41 tahun.

“Tiga bekas pemandu kepada dua syarikat kontraktor, masing-masing berusia 51 tahun, 56 tahun dan 45 tahun, juga ditahan,” katanya.

Dua lagi ialah seorang ahli perniagaan dan pengarah syarikat, masing-masing 47 tahun dan 30 tahun ditahan di Seremban.

Sumber berkata, akibat perbuatan itu, TM kerugian antara RM4 juta hingga RM6 juta dalam tempoh berkenaan.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Han Chee Rull, ketika mengesahkan tangkapan itu. – WD MY