KUALA LUMPUR, 2 Feb – Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan
untuk memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai syarikat
antarabangsa bagi menjalankan program latihan pada tahun ini.

Menurut Menterinya Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun, tumpuan utama kementerian
ialah mengekalkan dan menguatkuasakan perjanjian sedia ada.

“Setakat ini kami telah memeterai 20 MoU dengan syarikat asing dalam
pelbagai industri termasuk Samsung dari Korea,” katanya dalam sidang media
selepas berucap pada majlis tamat latihan khusus FUSO Mercedes Benz
Malaysia-Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), hari ini.

Kumpulan pertama 11 pelajar IKBN berjaya menamatkan latihan mereka di Pusat
Latihan Perantis (ATC) Mercedes Benz.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata 11 pelajar terbabit akan diserap
oleh sembilan pengedar sah FUSO untuk bekerja di bawah kontrak setahun dengan
gaji bulanan RM1,800.

Program latihan khusus IKBN FUSO ini ditandatangani oleh Mercedes Benz dan
kementerian pada Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes Benz Malaysia,
Claus Weidner berkata syarikat telah melabur lebih RM22 juta dalam ATC yang
memperkasa dan melengkapi belia dengan kepakaran teknikal kereta sejak lebih 10
tahun.

“Kami percaya matlamat pembangunan belia ini seiring dengan wawasan negara
untuk meningkatkan tahap kemahiran dalam industri teknologi tinggi,” katanya. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY