BEIJING, 22 JUN – JUAL…. Polis China berjaya menyelamatkan lebih 1,100 wanita dari Asia Tenggara yang ‘dijual’ sebagai isteri, hujung tahun lalu, kata pihak berkuasa, hari ini.

Kementerian Keselamatan Awam menerusi kenyataan berkata, seramai 17 kanak-kanak turut diselamatkan dalam operasi bersama dengan polis Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand di antara Julai sehingga Disember, tahun lalu.

Katanya, lebih 1,300 suspek, termasuk 260 warga asing berjaya ditahan semasa serbuan di atas dakwaan ‘menculik dan menjual orang serta penipuan perkahwinan’.

“Sejak kebelakangan ini, beberapa jenayah domestik dan antarabangsa bertindak mengumpan wanita dari negara jiran ke China dengan dijanjikan kerja atau berkahwin dan menculik beberapa wanita dan menjualnya sebagai isteri,” kata jurucakap kementerian, Guo Lin.

Selama sedekad, Beijing memperkenalkan dasar satu keluarga memiliki hanya seorang anak dan pilihannya adalah kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan China mengalami kekurangan hampir 33 juta wanita.

Akibat didorong faktor kemiskinan, wanita muda dari wilayah Mekong diperdaya untuk berkahwin di China.

Namun, beberapa wanita daripadanya menjadi mangsa sindiket ‘penipuan perkahwinan’ sehingga menyebabkan mereka berisiko didera, ditahan di bawa undang-undang imigresen China atau dipaksa menjadi pelacur. – WD MY