KUALA LUMPUR, 30 Nov – PETUGAS…. Lebih 1,200 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan sepanjang lima hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 yang akan bermula pada 5 Disember ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi strategik untuk menempatkan anggota di sekitar lokasi persidangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, penugasan anggota di lokasi berkenaan adalah bagi memastikan kelancaran sepanjang persidangan lima hari yang berakhir pada 9 Disember.

“Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh penganjur setakat ini.

“Saya juga sudah melawat kawasan sekitar lokasi ini (PWTC) dan akan tempatkan anggota di lokasi strategik bagi menjamin keselamatan seluruh delegasi dan orang awam yang hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan persiapan menjelang PAU di PWTC, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Mazlan diiringi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, serta kakitangan PWTC dibawa meninjau ke seluruh lokasi yang akan digunakan sepanjang berlangsungnya persidangan tahunan terbesar UMNO.

Seramai 5,739 perwakilan UMNO dari seluruh negara dijadualkan menghadiri persidangan itu kali ini. – WD MY