ALOR SETAR, 2 Feb – Hari ini berlangsung pertemuan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bersama anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, petang ini, menjadi tumpuan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis kepimpinan negeri.

Selain melengkapkan senarai keseluruhan 36 ADUN Kedah dipanggil, pertemuan itu juga penting dalam usaha mencari persetujuan majoriti terhadap status kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Pastinya, kemelut itu bukan lagi dilihat sebagai krisis dalaman UMNO, dan pembabitan ADUN pembangkang mula memberi gambaran bahawa kedudukan kini sudah sampai ke tahap kepentingan negeri sehingga menuntut aspek Perlembagaan diguna pakai melalui kuasa undi setiap ADUN.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) dengan 21 daripadanya milik BN, manakala 15 lagi dikuasai pembangkang dengan lapan milik PAS, diikuti empat PKR, dua DAP dan satu Parti Amanah Negara (PAN).

Apa yang menjadi tanda tanya ketika ini, sama ada tiga soalan sama yang dikemukakan kepada 21 ADUN Barisan Nasional (BN), semalam, akan turut ditanyakan kepada 15 ADUN pembangkang hari ini.

Selain itu, ramai ternanti-nanti untuk mengetahui kecenderungan sokongan dan pendirian ADUN pembangkang dalam isu ini dan pastinya kepentingan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan menjadi sandaran.

Semua 15 ADUN pembangkang dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dijadual berlangsung di Wisma Darul Aman jam 2 petang ini. – Sharini Abdulah ( WD MY)

LEAVE A REPLY