KUALA LUMPUR, 9 Mac – Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan
Kuasa-kuasa Khas) hari ini menetapkan 16 Mac untuk mendengar hujahan berhubung
dua permohonan yang difailkan beberapa pemimpin MIC bagi mendapatkan kebenaran
semakan kehakiman ke atas Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan
dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili RoS, dan peguam B.
Jadadish Chandra yang mengetuai peguam bagi pihak Presiden MIC Datuk Seri
G. Palanivel dan beberapa lagi.

Di luar mahkamah, Jadadish Chandra memberitahu pemberita bahawa pihak RoS
membuat bantahan awal terhadap dua permohonan itu dan mahkamah akan turut
mendengar permohonan berkenaan pada tarikh sama.

Dua permohonan MIC itu difailkan secara berasingan iaitu pada 24 Feb oleh
Palanivel dan tiga yang lain, dan pada 23 Feb oleh Anggota Jawatankuasa Kerja
Pusat MIC A.K. Ramalingam.

Pada 24 Feb, Palanivel, dua Naib Presiden Datuk S. Sothinathan dan Datuk S.
Balakrishnan, dan bekas Setiausaha Agung MIC A. Prakash Rao memfailkan
permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan RoS berhubung pemilihan
semula beberapa jawatan utama parti.

Mereka menamakan RoS dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden pertama dan
kedua.

Dalam permohonan itu, mereka antara lain memohon satu perintah certiorari
untuk membatalkan keputusan yang dibuat RoS melalui surat bertarikh 5 Dis dan 31
Dis lepas serta 6 Feb tahun ini dan mahu satu pengisytiharan bahawa surat-surat
itu dan perintah yang terkandung di dalamnya adalah salah di sisi undang-undang,
tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa perintah dalam surat-surat itu
adalah tindakan yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah
dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan MIC.

Pemohon memohon pengisytiharan bahawa keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MIC
yang diadakan pada 30 Nov 2013 adalah sah dan berkuat kuasa dan memohon perintah
oleh RoS itu ditangguhkan sementara menunggu pelupusan permohonan mereka itu di
mahkamah.

Keempat-empat pemohon juga memohon satu perintah injunksi sementara bagi
menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC
mahupun mengeluarkan sebarang arahan terhadap parti itu sehingga permohonan
semakan kehakiman selesai.

Mereka memohon membatalkan surat bertarikh 5 Dis tahun lepas yang antara
lain mengarahkan parti itu mengadakan semula pemilihan jawatan Naib Presiden dan
Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari daripada tarikh surat itu
yang mana pemilihan yang dibuat pada 30 Nov 2013, dianggap tidak sah.

Mereka juga memohon bagi membatalkan perintah RoS pada tarikh sama supaya
parti itu mengadakan semula pemilihan jawatankuasa di lapan bahagian dalam
tempoh 60 hari daripada tarikh surat itu.

Sementara itu, Ramalingam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan
menamakan RoS dan Ketua Pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah sebagai responden.

Beliau juga memohon untuk membatalkan kenyataan responden menerusi surat
yang sama serta memohon satu deklarasi bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu
adalah mala fide dan ultra vires.

Selain itu turut dipohon adalah deklarasi bahawa kenyataan responden itu
bertentangan dan satu perbuatan perlucutan hak asasi pemohon menurut Perkara
10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY