DUBAI, 8 JUN – PAPAN TANDA….. Seramai 17 orang maut termasuk 12 warga India, selepas bas yang dinaiki mereka bertembung dengan satu papan tanda jalan kerana memasuki laluan yang dihadkan kepada kenderaan kecil sahaja, menurut polis dan konsulat India.

Bas yang berdaftar di Oman itu sedang dalam perjalanan ke Dubai dari Muscat dengan 31 penumpang pelbagai kewarganegaraan.

Dalam muat naik di Twitter, polis Dubai memaklumkan kemalangan itu berlaku malam semalam membabitkan sebuah bas yang berdaftar di Oman itu, ketika dalam perjalanan ke Dubai dari Muscat dengan 31 penumpang pelbagai kewarganegaraan.

“Kadang-kadang kesilapan atau kelalaian kecil membawa padah,” katanya sambil menyalahkan pemandu bas itu yang juga seorang warga Oman.

Difahamkan, pemandu bas terbabit hanya cedera.

Konsulat India di Dubai berkata, 12 warganya terbunuh dalam nahas itu, sementara identiti empat baki mangsa lain tidak diketahui.

Akhbar Emarat Al-Youm yang memetik polis Dubai sebagai berkata, kemalangan itu berlaku apabila pemandu bas memasuki lorong bukan untuk bas kemudian merempuh papan tanda had tinggi kenderaan. – WD MY