KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Luluskan…….  Dewan Negara telah meluluskan 19 Rang Undang-Undang (RUU) dalam tempoh enam hari persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-13, yang ditangguhkan hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata daripada jumlah itu, tiga RUU menjadi tumpuan iaitu RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017, RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 dan RUU Bantuan Guaman (Pindaan) 2017.

“Saya mendapati pembabitan aktif dalam kalangan Ahli Dewan Negara menunjukkan Dewan yang mulia ini meneruskan proses semak dan imbang dalam penggubalan undang-undang.

“Ini menunjukkan sistem demokrasi berparlimen terus subur dan dimartabatkan di negara ini.

“Terima kasih kepada semua Ahli Dewan Negara yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyatakan komitmen dalam meluluskan 19 RUU ini yang akan dikemukakan kepada Yang Di-Pertuan Agong sebelum diwartakan,” katanya.

RUU lain yang diluluskan adalah RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017, RUU Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017, RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017, RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017, RUU Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017.

RUU Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017, RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2017, RUU Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017, RUU Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Pindaan) 2017, RUU Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Pindaan) 2017, RUU Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017, RUU Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017.

Turut diluluskan adalah RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2017, RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2017 dan RUU Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Pindaan) 2017. – WD MY