KUALA LUMPUR, 22 Feb – SENARAI…. Pihak Lembaga Tabung Haji (TH) menyenaraikan 19 syarikat pelancongan tempatan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang menawarkan pakej haji bagi musim haji 1439H/2018M.

TH berkata bakal haji yang sudah menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini disarankan menggunakan perkhidmatan pakej haji melalui PJH yang diluluskan itu.

Katanya, individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

TH mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen, orang tengah atau perantara dalam urusan membabit tawaran haji dan pakej haji.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh didapati dari mana-mana Pejabat Cawangan TH atau melayari laman sesawang http://www.tabunghaji.gov.my

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-62071919. – WD MY