1999-2017 Penamat Formula 1 Di Sepang Dengan Tawaran Tiket Termurah

0
81

KUALA LUMPUR, 8 April – Murah….. Perlumbaan terakhir Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia 2017 yang juga perlumbaan F1 terakhir menampilkan tawaran hebat buat peminat tempatan kerana berpeluang menikmati diskaun istimewa sehingga 50 peratus.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Sdn Bhd, Datuk Razlan Razali, oleh kerana ini adalah tahun terakhir SIC menganjurkan perlumbaan itu, beliau mahu semua peminat tempatan merasai keterujaannya.

“Harga standard tiket bagi GP Malaysia 2017 ialah serendah RM58.68 untuk tiket Hillstand K2 hingga RM613.68 bagi tiket Main Grandstand, menjadikan harga tiket bagi perlumbaan kali ini sebagai paling murah di dunia.

“Tahun ini, tiket ditawarkan tanpa nombor tempat duduk berasaskan konsep “siapa cepat, dia dapat” di Main Grandstand, F Grandstand dan K1 Grandstand,” katanya pada sidang media mengenai Pelan Pembangunan F1PMGP dan SIC petang semalam.

Razlan berkata oleh kerana tempat duduk tidak bernombor, penonton boleh bergerak bebas dalam kawasan Grandstand berkenaan pada hujung minggu perlumbaan.

Buat kali pertama, rakyat Malaysia berpeluang menikmati harga kadar rata di sudut terbaik untuk menyaksikan perlumbaan di Main Grandstand pada harga hanya RM336.18.

“Bagi F Grandstand dan K1 Grandstand, harga tiket yang ditawarkan masing-masing ialah RM169.68 dan RM225.18,” katanya.

Semua tiket bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah ditawarkan diskaun 50 peratus daripada harga tiket dewasa sementara kanak-kanak bawah tujuh tahun dibenarkan masuk percuma.

Dalam pada itu, peminat dari kalangan orang kurang upaya (OKU) boleh membeli tiket khas bagi tempat duduk Main Grandstand pada harga RM308.43.

Seperti 2016, perlumbaan tahun ini dijadual berlangsung pada penghujung musim iaitu perlumbaan pusingan ke-15 dalam kalendar 20 perlumbaan.

Malaysia tidak lagi akan menganjurkan perlumbaan Formula Satu mulai tahun depan. – WD MY