KUALA LUMPUR,JUN 6:PROSEDUR…Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa semua prosedur dan proses perundangan berkaitan rundingan serta pelaksanaan dua projek saluran paip yang dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semalam, sudah dipatuhi.

Najib dalam satu kenyataan di laman Facebook (FB) miliknya berkata, beliau turut mendapati Guan Eng menyebut semua bayaran dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak lain.

“CPPB adalah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki Kerajaan China, China National Petroleum Corporation (CNPC).

“Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan dengan China,” katanya.

Najib berkata, beliau dan Perdana Menteri China, Li Keqiang menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek saluran gas itu bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei 2017.

Pada majlis sama, katanya, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion bagi tempoh lima tahun dari Malaysia, membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

“Selain itu, Kerajaan China juga membuat komitmen untuk membantu pekebun kecil sawit di Malaysia menerusi pembelian tambahan minyak sawit daripada kita.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini, namun kita perlu lebih berhati-hati membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama membabitkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, Guan Eng sepatutnya memberi lebih banyak maklumat untuk membuktikan dakwaannya berhubung kedua-dua skandal projek terbabit.

“Dalam kenyataannya, Guan Eng membuat tuduhan sangat spesifik bahawa bayaran dibuat lebih awal kepada CPPB, namun tidak kepada mana-mana syarikat lain.

“Tidak ada tuduhan pembayaran itu dialihkan atau salah dibayar kepada syarikat lain.

“Semakan menunjukkan CPPB adalah salah satu pembina saluran paip utama di dunia dan menyelesaikan lebih 10,000 kilometer saluran paip.

“CPPB juga anak syarikat milik penuh Kerajaan China, (CNPC) yang disenaraikan di nombor empat di ‘2017 Fortune 500 syarikat global’ dengan pendapatan AS$263 bilion tahun lalu,” katanya.-MY WD