KLANG, 12 JULAI – TERBAKAR… Kira-kira 20 penghuni yang menyewa di tiga unit rumah kedai di Jalan Nenas, di sini, hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam selepas penghuni dapat menyelamatkan diri.

Seorang penyewa di unit di tingkat dua bangunan tiga tingkat berkenaan, Nizaruddin Mohd Shafie, 46, berkata ketika kejadian beliau berada di bilik sewanya apabila jiran di tingkat atas menjerit meminta tolong.

Katanya, beliau dan seorang rakan bergegas ke tingkat atas bangunan itu apabila beliau mendapati kebakaran di unit rumah itu sudah marak.

“Saya sedang berehat di rumah ketika waktu maghrib apabila mendengar jeritan wanita meminta tolong.

“Sebaik naik, saya lihat api sudah besar dan saya mendapati kebanyakan penghuni sudah menyelamatkan diri.

“Unit rumah ini mempunyai bilik-bilik kecil yang disewakan dan saya sendiri menyewa bilik di tingkat bawah sejak lima bulan lalu,” katanya.

Seorang bekas penyewa di satu daripada tiga unit bangunan rumah kedai yang terbakar, warga Indonesia, Arni Taput, 25, berkata beliau baru dua hari berpindah keluar untuk menyewa di bangunan rumah kedai di belakang lokasi kejadian.

“Saya sedang berbual dengan dua rakan di bawah rumah kedai ini apabila terdengar rakan menjerit berlaku kebakaran dari arah belakang. Ketika kejadian, rakan di rumah berkenaan sedang memasak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.42 malam sebelum sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.

Katanya, seramai lima pegawai dengan 33 anggota terbabit dalam operasi pemadaman dari BBP Sungai Pinang, Andalas dan Pelabuhan Klang.

“Api berjaya dipadamkan kira-kira jam 8.30 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni berjaya keluar.

“Mereka dipercayai cuba memadamkan kebakaran yang berpunca dari dapur memasak tetapi api terlalu marak berikutan dinding yang dibuat daripada kepingan kayu ‘plywood’ menyebabkan mereka menunggu kehadiran bomba.

“Difahamkan setiap unit rumah yang terbakar itu dibahagikan kepada enam bilik kecil yang disewakan,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – WD MY