KUALA LUMPUR, DISEMBER 28: PETRONAS…Lebih 20 buah kenderaan tersadai selepas mengalami kerosakan sebaik sahaja mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Serdang dekat sini pagi ini.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ekoran petrol yang diisi ke dalam kenderaan mereka telah tercampur dengan air yang memasuki satu tangki di stesen minyak tersebut.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hel Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), Datuk Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk ke stesen minyak tersebut selepas kejadian berkenaan tular dalam media sosial.

“Kira-kira empat pegawai penguat kuasa dari pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kajang telah ke tempat kejadian dan dimaklumkan oleh pemilik stesen minyak tersebut berlaku sedikit masalah apabila satu tangki yang mengisi petrol dimasuki air.

“Saya dimaklumkan juga pihak stesen minyak sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan menjelang pukul 7 petang ini stesen minyak itu boleh beroperasi seperti biasa. Setakat ini kesemua pam minyak telah ditutup dan dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai pengguna terjejas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohd. Roslan, melihat kepada kejadian yang berlaku, pihak stesen wajar untuk menanggung kesemua kerosakan dialami oleh pengguna yang terjejas.

“Di pihak KPDNHEP kami telah mengambil sampel petrol dan akan melihat kejadian ini dari sudut undang-undang yang ada, jika ada pelanggaran undang-undang kami akan kaji dan tindakan sewajarnya akan kami ambil,” katanya. -MY WD