PUTRAJAYA, 21 Mac – SEDIAKAN….  Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Kementerian Wilayah Persekutuan menyediakan sebanyak 500 daripada 2,000 unit Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), di Presint 9, di sini, pada harga serendah RM80,000.

Projek pertama RUMAWIP di Putrajaya itu akan mula dibina pada suku kedua tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Tengku Adnan berkata 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 700 kaki persegi (65 meter persegi) itu bakal ditawarkan kepada orang kelainan upaya (OKU), penjawat awam isi rumah bawah RM3,000 dan komuniti masyarakat India.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan 50 unit untuk OKU dan 90 unit lagi untuk masyarakat India yang menetap di Putrajaya, manakala selebihnya kepada penjawat awam dan penduduk yang menetap di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

“Unit kediaman pada harga istimewa ini dicapai hasil persetujuan dengan pihak pemaju, selain sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijalankan pemaju berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek RUMAWIP; Terminal Pengangkutan Awam dan Pusat Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Putrajaya, petang semalam.

Katanya, unit RUMAWIP juga ditawarkan kepada penjawat awam yang belum memiliki rumah pertama.

Beliau berkata, baki 1,500 unit RUMAWIP ditawarkan pada harga RM270,000 dengan keluasan lantai 800 kaki persegi (74 meter persegi).

Unit kediaman itu, katanya, turut ditawarkan kepada penduduk Putrajaya yang bukan dalam kalangan penjawat awam.

“Projek RUMAWIP ini adalah usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, projek RUMAWIP adalah sebahagian daripada projek pembangunan bersepadu yang akan dibangunkan di Presint 7 dan Presint 9 oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (Pulse Group) bersama tiga rakan strategik lain iaitu Pan Sejati Development (M) Sdn Bhd; Alliance Gloss Sdn Bhd dan GETS Global Bhd.

Beliau berkata, projek pembangunan lain, termasuk projek pembangunan semula terminal pengangkutan awam, Putrajaya Sentral dan pusat penjaja Bumiputera di Presint 7 dan Presint 9, dijangka siap pada 2029.

“Ketiga-tiga projek pembinaan ini dianggarkan bernilai RM2.28 bilion,” katanya. – WD MY