MUAR, 8 MEI – MEMORANDUM….. Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, memberitahu bahawa beliau dimaklumkan 23 Ketua Bahagian BERSATU Johor menghantar memorandum kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tidak diberitahu mengenai isi kandungan memorandum berkenaan.

“Saya diberitahu mengenai mereka (23 Ketua Bahagian BERSATU Johor) menghantar memo kepada Tun (Dr Mahathir).

“Tetapi apa isi (kandungan) memo itu, saya kurang pasti. Saya dimaklumkan memo itu ditandatangani oleh 23 Ketua Bahagian (BERSATU Johor),” katanya ketika ditemui BH pada Program Berbuka Puasa dan Solat Terawih di Masjid Jamek Lengat Batu 28, Pagoh malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan Ketua Bahagian BERSATU Johor baru-baru ini yang dikatakan berhubung kait dengan isu Pengerusi parti berkenaan di negeri itu.

Dr Sahruddin juga bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang menjelaskan isu jawatan Pengerusi BERSATU Johor tidak dibincangkan pada pertemuan bersama beliau dengan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Putrajaya baru-baru ini.

“Memang kami tidak ada bangkitkan hal pengerusi (BERSATU Johor) pasal saya datang bersama 10 EXCO untuk berbincang bersama Tun, mendengar nasihat Tun untuk memastikan kerajaan kita dapat bergerak di landasan yang betul,” katanya.

Sementara itu, berkaitan ura-ura mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Izhar Ahmad, yang dikatakan bakal melepaskan jawatan dan keluar dari parti itu, Dr Sahruddin memberitahu beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya tidak maklum (isu berkaitan ADUN Larkin). Tadi pun saya ada WhatsApp dengan dia (Mohd Izhar), berbual dengan dia. Dia nampaknya tidak menyuarakan niat untuk melepaskan jawatan atau keluar parti,” katanya.

Dr Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong, berkata beliau berharap semua isu akan segera berakhir dan mahu semua pihak terus bergerak ke hadapan.

“Yang lepas, biarkan ia berlalu. Kalau boleh, yang lepas jangan kita cerita balik dah, bergerak ke hadapan untuk membuka cerita baharu.

“Kita kena bergerak ke hadapan untuk memastikan semua masyarakat dapat lebih baik, aman dan elakkan sebarang sengketa sesama kita. Ini pun bulan puasa, kita buka lembaran baharu menjadi lebih baik, bersahabat dengan semua… tidak kira lawan atau musuh kita.

“Lupakan sengketa supaya sama-sama memastikan masyarakat dan pemimpin akan lebih mesra untuk Malaysia maju pada masa akan datang. Kekalkan kerjasama, kurangkan berpolitik dan ini adalah waktunya untuk kita berkerja,” katanya. – WD MY