KUANTAN, 11 April – TANGKAP….. Seramai 24 nelayan warga Vietnam termasuk dua tekong ditahan ketika menangkap ikan secara haram di perairan Pekan kira-kira 41 baru nautika dari Tanjung Sekukuh, semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 14 hingga 54 tahun itu ditahan oleh anggota Cawangan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Pahang pada kira-kira jam 10.45 pagi.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Datuk Azahari Othman, berkata nelayan asing berkenaan didapati melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan dua bot pukat ganding.

Katanya, hasil siasatan mendapati mereka sudah biasa melakukan aktiviti itu di perairan Pekan.

“Kita menemui hasil tangkapan seberat 1.5 tan membabitkan pelbagai jenis ikan dan sotong, turut dijumpai adalah ikan baja yang diletakkan di dalam beberapa kotak simpanan peti sejuk bot itu.

“Kita merampas semua hasil tangkapan termasuk dua bot dan peralatannya yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menahan dua bot Vietnam berkenaan adalah hasil dari pemantauan dan rondaan anggotanya yang menggunakan dua bot peronda laju.

Azahari berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melakukan rondaan bagi memastikan nelayan asing tidak menceroboh perairan negeri ini yang boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

Katanya, kerjasama yang diberikan oleh nelayan tempatan dengan memberi maklumat mengenai aktiviti berkenaan sedikit sebanyak membantu untuk menyekat aktiviti haram nelayan asing.

“Bulan lalu kita turut menahan 21 nelayan warga Vietnam berumur 18 hingga 60 tahun yang menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pekan, kira-kira 60 batu nautika dari Kuala Tembeling.

“Kita akan melakukan rondaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan khazanah laut negara tidak sewenang-wenangnya ‘dicuri’ oleh nelayan asing,” katanya. – WD MY