KANGAR, 23 Ogos – Penemuan 24 rangka manusia lengkap dikafan dari 18 kubur, dipercayai
mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, di Wang Kelian semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail.

Kesemua 24 rangka tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar
pada 7.50 petang semalam untuk dirujuk kepada pakar patologi.

Beliau yang dihubungi berkata pihak berkuasa menemui 20 kubur, tetapi 18 kubur sahaja
mengandungi rangka manusia.

“Hujan lebat dipercayai menghakis kubur tersebut yang membawa kepada
penemuan rangka mayat itu,” tambahnya.

Beliau berkata difahamkan 20 kubur tersebut lebih lama daripada kubur yang
ditemui Mei lepas dan kedudukannya pula hampir ke puncak bukit namun tidak jauh
dari tempat penemuan lama.

Shafie berkata penemuan itu dibuat oleh sepasukan 15 pegawai dan 108 anggota
Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am; Bahagian
Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah; Unit Pencegah Penyeludupan; Cawangan Khas
dan pegawai penyiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar malam tadi mengesahkan penemuan
beberapa buah kubur lagi di kawasan sempadan Perlis dan Thailand.

Beliau berkata kubur-kubur itu “adalah sebahagian daripada penemuan yang asal.” – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY