KUALA LUMPUR, 19 SEPT – TUTUP…. Seramai 1,732,842 pelajar dari 2,459 sekolah rendah dan menengah diberikan cuti tanpa ganti sehari atau dua hari mulai esok berikutan masalah jerebu yang melanda negara sekarang.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, berkata penutupan 2,459 sekolah rendah dan menengah berkenaan terpaksa dibuat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit kini melebihi 200 atau sangat tidak sihat.

Menurut kenyataan sama, sekolah di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang akan ditutup selama dua hari mulai esok, manakala sekolah di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak hanya ditutup sehari iaitu pada 19 September 2019.

Katanya, jumlah sekolah yang ditutup di Selangor ialah 939 membabitkan 911,874 pelajar manakala di Wilayah Persekutuan Putrajaya membabitkan 25 sekolah (27,531 pelajar); di Kuala Lumpur (296 sekolah/217,657 pelajar); Pulau Pinang (399 sekolah/243,972 pelajar).

SEKOLAH Rendah Agama Raja Muda Musa ditutup ekoran jerebu yang melanda di Kuala Lumpur.

Di Kedah pula 124 sekolah rendah dan menengah yang membabitkan 58,241 pelajar ditutup akibat jerebu, manakala di Perak mencakupi 250 sekolah dengan jumlah pelajar terbabit ialah 88,028 orang; di Negeri Sembilan (53 sekolah/28,073 pelajar) dan terakhir di Sarawak membabitkan 373 sekolah dan 157,466 orang pelajar.

Sementara itu, keadaan jerebu rentas sempadan kini bertambah buruk apabila kesannya mulai dirasai oleh penduduk di Pantai Timur Semenanjung Malaysia termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Malah, sehingga jam 12 tengah malam tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lapan kawasan di seluruh negara berada pada paras sangat tidak sihat melebihi 200.

Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), melaporkan lapan kawasan yang mencacatkan bacaan IPU sangat tidak sihat ialah, Johan Setia, Klang (260), Sri Aman (237), Klang (202), Shah Alam (221), Petaling Jaya (205), Putrajaya (203), Nilai (210) dan Balik Pulau (218).

Dalam pada itu, sebanyak 41 kawasan lain kini mencatatkan bacaan IPU, kurang sihat termasuk di Balok Baru dan Indera Mahkota di Kuantan, Pahang serta Paka dan Kemaman, Terenggau manakala 19 lokasi lain berada pada tahap sederhana. – WD MY