KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 2:SPEEDY….Aksi olahraga di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang akan berlangsung pada 12 hingga 22 September akan kehilangan serinya apabila pelari pecut negara yang juga pemenang rekod kebangsaan acara 100 meter, Khairul Hafiz Jantan mengesahkan menarik diri daripada menyertai acara itu.

Selepas tamatnya temasya Sukan Asia di Jakarta-Palembang, pelari yang dikenali sebagai The Speedy Jantan itu memutuskan untuk tidak mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di SUKMA, kejohanan yang menyaksikan dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dua tahun lalu.

Malah dia juga tidak akan menyertai sebarang acara di SUKMA.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim menegaskan bahawa keputusan itu dibuat sendiri Khairul Hafiz dan beliau sebagai jurulatih tidak boleh memaksa seandainya Khairul yang juga juara pecut Asia Tenggara itu memutuskan untuk tidak menyertai SUKMA.

Poad ketika dihubungi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Khairul Hafiz untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun Poad menolak bahawa keputusan itu dibuat berikutan pemasalahan yang sebelum ini membelenggu barisan atletnya dengan Majlis Sukan Melaka dan memohon ia tidak diperbesarkan.

“Keputusan itu, keputusan Khairul sendiri. Saya ikut saja keinginannya.

“Mungkin dia ada sebab-sebab tertentu mengapa untuk tidak mempertahankan emas di SUKMA,” katanya.

Bagaimanapun Poad berkata, barisan atletnya yang lain bagaimanapun akan meneruskan perjuangan memburu pingat emas di kejohanan itu.

Antara yang bakal menjadi tumpuan pastinya Muhammad Zulfiqar Ismail, Haikal Hanafi selain beberapa nama lain seperti Muhammad Ilham Suhaimi dan Muhammad Aiedel Saadon.

Pada aksi di Sukan Asia yang lalu, Khairul Hafiz hanya berjaya mara hingga separuh akhir dengan catatan 10.45 saat.

Dia yang turut beraksi dalam acara 4x100m berjaya membawa kuartet itu ke peringkat akhir namun gagal menyempurnakan larian selepas dibatalkan kerana Nixson Kennedy memberikan baton kepada pelari kedua, Jonathan Nyepa di luar zon sepatutnya menyebabkan ia terbatal secara automatik.-MY WD