ALOR SETAR, OKTOBER 25: DIREMAN…Seorang pemimpin PKR Kedah direman tujuh hari mulai hari ini, sehingga 31 Oktober hadapan bagi membantu siasatan dakwaan pembabitan politik wang dalam pemilihan pemimpin cabang parti itu baru-baru ini.

Perintah tahanan reman ke atas pemimpin berusia 59 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, suspek bersama dua lagi lelaki berusia 46 dan 48 tahun yang sebelum ini turut ditahan SPRM Kedah pada bulan lalu, dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya namanya didaftarkan ke dalam sistem parti bagi melayakkannya bertanding pada pemilihan kali ini.

Suspek sebelum itu memaklumkan lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada sistem, namun boleh dikekalkan sekiranya membayar wang berkenaan.

Terdahulu, dia yang pernah menjadi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, tiba di perkarangan Mahkamah Alor Setar sambil diiringi dua pegawai SPRM Kedah.

Difahamkan, pemimpin itu ditahan pada jam 4.10 petang semalam, di Pejabat SPRM Kedah selepas dia hadir menyerah diri di pejabat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi, mengesahkan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.-MY WD