KUALA LUMPUR, JAN 1: HARGA MINYAK….Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berharap kerajaan tidak mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan semula sistem penetapan harga petrol mingguan.

Sistem apungan harga secara mingguan itu dijangka akan menurunkan harga runcit petrol berikutan kejatuhan harga minyak mentah global pada masa ini.

Khairy berkata sudah tujuh minggu rakyat Malaysia membayar harga petrol yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Jangan tangguh lama-lama. Sudah tujuh minggu rakyat bayar ‘subsidi’ kepada kerajaan,” katanya di Twitter.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini bahawa penetapan harga petrol mingguan – yang sepatutnya bermula 1 Januari – ditangguhkan ke akhir minggu pertama 2019.

Lim berkata ia bagi membincangkan dulu bantahan oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) terhadap langkah itu.

Beliau berkata jemaah menteri akan memutuskan perkara itu dalam mesyuarat pada 2 Januari.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan harga RON95 pada RM2.20 seliter sejak mentadbir negara Mei lalu.

Kali terakhir harga RON95 berubah adalah pada 22 Mac lalu bawah sistem apungan mingguan oleh pentadbiran BN ketika itu.

Bawah sistem itu, tiada had siling ditetapkan bagi harga RON95 tetapi ia dibekukan tidak lama sebelum PRU ke-14.

Ketika itu, harga minyak mentah global sekitar AS$69 setong. Kini ia di paras kira-kira AS$52 setong.

Menerusi penetapan harga kerajaan PH pula, Lim sebelum ini berkata harga akan ditetapkan secara mingguan dengan had RM2.20 seliter jika harga minyak mentah global kembali meningkat.

Paras itu akan dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi bersasar untuk RON95 pada pertengahan 2019, katanya lagi.-MY WD