SHAH ALAM,JULAI 21 :CALON…Tiga calon bakal berentap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, bakal berentap dalam pertandingan tiga penjuru bersama-sama seorang calon bebas, pesara kerajaan berusia 60 tahun, K Murthy.

Pengumuman calon bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad pada jam 10.25 pagi tadi selepas tiada borang pencalonan ditolak.

“Kertas pencalonan diterima daripada Mohd Zawawi pada jam 9.08 pagi dari PKR, kedua, Lokman Noor Adam, masa penyerahan pada 9.09 pagi daripada BN dan ketiga Murthy Krishnasamy, masa penyerahan jam 9.35 pagi daripada Bebas.

“Selepas menerima kertas penamaan itu dan selesai disemak saya berpuas hati tiada calon yang ditolak,” katanya.

Sorakan dan laungan daripada penyokong kedua-dua calon PKR dan BN kedengaran sebaik saja nama mereka diumumkan oleh Ahmad Zaharin.

Sebelum itu, Ahmad Kamarudin, 42, dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) menarik balik borang pencalonannya selepas diminta berbuat demikian oleh jawatankuasa tertinggi parti itu ketika beliau mahu mengemukakan pencalonannya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).-MY WD