MANJUNG,SEPTEMBER 22:SESAT…. Tiga kakitangan Lembaga Air Perak (LAP) yang tersesat di kawasan bukit di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, dekat sini, ditemui selamat malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Amir Hamid, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.36 malam sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, tiga lelaki berusia antara 29 hingga 38 tahun itu datang ke bukit berkenaan untuk aktiviti riadah.

“Tiga lelaki berkenaan datang ke kawasan itu untuk bersenam pada jam 6 petang tadi sebelum mereka dilaporkan tersesat.

“Pihak bomba mengambil masa satu jam 30 minit sebelum menemui tiga lelaki itu dalam keadaan selamat pada 9.45 malam.

“Ketika ditemui seorang daripada mereka agak lemah namun masih mampu berjalan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, biarpun hujan renyai ketika operasi mencari dijalankan, namun itu tidak menyukarkan gerakan pasukan bomba yang menemui tiga lelaki itu pada ketinggian kira-kira 140 meter dari aras laut.

“Mangsa memaklumkan masuk ke kawasan itu melalui laluan trek, namun selepas selesai bersenam mereka tidak menemui jalan berikutan hari sudah gelap.

“Operasi tamat pada 10.38 malam,” katanya.-MY WD