KUCHING,SEPTEMBER 8:KERUSI… Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dapat memberi kata putus berkenaan kerusi milik PKR yang mana akan dikosongkan bagi membuka laluan kepada satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Umum PKR itu berkata, satu daripada tiga kerusi Parlimen berpotensi dikosongkan bagi memastikan beliau bertanding.

“Ya, memang ada kerusi yang ditawarkan untuk dikosongkan. Saya fikir ada tiga kerusi yang ada potensi dikosongkan, namun saya tidak pasti yang mana satu,” katanya ketika ditemui dalam majlis bersama PKR Sarawak, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Ditanya berkenaan adakah beliau bersedia menerima tawaran kerusi Parlimen dikosongkan itu, Anwar berkata, ia terpulang kepada pengumuman oleh parti.

“Biar parti yang umumkan,” katanya ringkas.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengesahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan demi membuka peluang kepada suaminya bertanding.

Sementara itu, Anwar berkata, PKR perlu sentiasa bersikap inklusif dan terbuka jika mahu terus kekal mentadbir negara ini.

“PKR memerlukan muka baharu, selain pemimpin lama. Jadi, tolong buka minda di mana pemimpin baharu dan muda diperlukan, namun tidak bermakna kita tidak memerlukan pemimpin lama,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa sahaja mampu mengesyorkan barisan calon untuk pilihan raya akan datang, tetapi beliau sendiri akan membuat keputusan.

“Selain itu, saya memberi jaminan parti kita akan dipastikan sentiasa bersih daripada penyelewengan.

“Jika ada sesiapa yang terbabit dalam salah guna kuasa, rasuah mahupun mendiskriminasi kumpulan tertentu, anda boleh keluar daripada parti ini kerana parti tidak memerlukan pemimpin seperti itu,” katanya.

Anwar turut memberi amaran keras bahawa beliau tidak akan berlembut terhadap sebarang penyelewengan selagi mana masih memimpin PKR.-MY WD