PUTRAJAYA, 1 Mac – MPI…. 30 resolusi bersama 67 inisiatif yang diputuskan menerusi wacana dan multaqa Majlis Perundingan Islam (MPI) akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja Melayu bagi mendapatkan perkenan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, keputusan untuk menjadikan MPI sebagai sekretariat tetap di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) juga adalah bukti komitmen kerajaan untuk menjayakan 30 resolusi yang diputuskan menerusi wacana dan multaqa berkenaan.

Beliau berkata, semua 30 resolusi bersama 67 inisiatif itu akan diperincikan selain penyelarasan oleh sekretariat tetap di bawah MKI.

“Paling penting, semua resolusi dan inisiatif berkenaan akan juga diterapkan dalam dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang akan disediakan programnya untuk dilaksanakan kerajaan bagi tempoh 30 tahun mendatang.

“Insya-Allah, pada 2050, kita akan melihat pelaksanaan sepenuhnya terhadap program-program yang sudah dipersetujui ini,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan, di pejabatnya, hari ini.

Terdahulu, pada majlis penutup Ijtimak MPI Kebangsaan di Cyberjaya, Ahmad Zahid mengumumkan MPI sebagai sekretariat tetap di bawah MKI dan ketujuh-tujuh ketua kluster diangkat sebagai anggota tetap MPI.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MPI yang didokongi tokoh pelbagai profesion dan ideologi politik bertujuan memastikan perbezaan pendapat dapat dihormati selain menyatupadukan pemikiran demi kepentingan ummah, tanpa mengetepikan agama lain.

“Kita berhasrat perkara-perkara yang menjadi titik-bengit dan dijadikan persoalan pokok yang memecah-belahkan umat dapat disatukan menerusi program yang akan dilaksanakan hasil resolusi dan inisiatif ini,” katanya. – WD MY