PUTRAJAYA, 9 Sept : TERPILIH…..  30 usahawan wanita Malaysia dipilih menyertai Akademi Usahawan Wanita (AWE), sebuah program kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Wanita Global.

Program yang dilaksanakan di Afrika dan Amerika Selatan tahun lalu, kini diperluas ke Asia dengan pelancarannya di Malaysia hari ini.

Aktiviti AWE, yang berlangsung selama setahun, akan bermula Sabtu ini dengan bengkel pertamanya membabitkan peserta berumur antara 18 hingga 60 tahun, diberi pinjaman RM1,000 sekali sahaja serta didedahkan kepada program pembelajaran dalam talian, latihan kemahiran, bimbingan dan sokongan mentor daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir berkata, AWE adalah sebahagian daripada kempen memperkasa wanita untuk menggalakkan kesaksamaan dalam peluang, menyokong pertumbuhan dan memperkukuh hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia.

“Melabur pada kanak-kanak perempuan dan wanita memberikan kesan berganda yang memberikan banyak manfaat bukan hanya untuk wanita sebagai individu tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi selepas pandemik COVID-19,” katanya pada majlis pelancaran program itu di sini.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir (dua kanan) diiringi oleh Presiden WENA, Nuraizah Shamsul Baharin (kanan) melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Akademi Usahawan Wanita (AWE) hari ini. - Foto BERNAMA
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir (dua kanan) diiringi oleh Presiden WENA, Nuraizah Shamsul Baharin (kanan) melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Akademi Usahawan Wanita (AWE) hari ini. – Foto BERNAMA

Kedutaan AS di Kuala Lumpur akan bekerjasama dengan Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA) dalam melaksanakan AWE di Malaysia.

Presiden WENA, Nuraizah Shamsul Baharin, berkata 30 peserta itu adalah usahawan kecil dari pelbagai perniagaan termasuk produk makanan dan pendidikan kanak-kanak yang dipilih dari Lembah Klang, Kedah, Kelantan dan Sabah.

AWE menumpukan kepada program latihan dalam talian, DreamBuilder, yang dibangunkan oleh fakulti pengurusan global Arizona State University.

Program ini melengkapkan wanita dengan bahan yang diperlukan untuk menubuh dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri, meningkatkan modal dan rangkaian secara berkesan dengan pemilik perniagaan lain yang berjaya. – wd my