KUALA LUMPUR, 28 Mei – Puisi nukilan Pyanhabib dihimpunkan dalam pameran “Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib” yang turut didokumentasikan dalam bentuk buku terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan HOM Art Trans.

Diberi tema Pameran Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib Lukisan 31 pengkarya seni dari pelbagai latar belakang yang dihasilkan sebagai penghargaan kepada Pyanhabib, penyair terkenal tanah air yang telah bergiat aktif dalam bidang seni selama lebih empat dekad.

Berlangsung dari 27 Mei hingga 3 Jun di Whitebox Publika membariskan 31 seniman kontemporari dari Malaysia sendiri iaitu Jailani Abu Hassan, Izzaddin Matrahah, Aznan Omar, Annassuwandi, Saharuddin Supar, Suddin Lappo, Zuraimi Abdul Rahim, Kamal Sabran, Fairuz Paisan, Anne Samat, Poodien, Azrin Mohd, Nizam Rahmat, Samsudin Wahab, Haslin Ismail, Azam Aris, Meor Saifullah Lulaed, Jamil Zakaria, Adeputra Masri, Faizal Suhif, Latif Maulan, Anisa Abdullah, Khairul Izham, Syahbandi Samat, Shafiq Nordin, Sabihis Md Pandi, Hisyamuddin Abdullah, Arikwibowo Amril, Khairul Arshad, Mohd Akhir Ahmad dan Fadhli Ariffin.

Majlis ini disempurnakan oleh Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM dan disaksikan oleh Encik Bayu Utomo Radjikin, Pengarah HOM Art Trans. Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi oleh Hasnul Rahmat (pelakon dan pemuisi) dan Hakim (atau lebih dikenali dengan nama Awang Ketut) dan Rahmat Haron (aktivis dan pemuisi)

Semua individu tersebut telah membina reputasi hebat sama ada di dalam negara ataupun di luar negara. Antara nama yang tidak asing lagi adalah Jailani Abu Hassan, pelukis seni dan pendidik yang merupakan sahabat lama Pyanhabib sejak era Anak Alam; Aznan Omar, artis arca kontemporari yang menjadikan pepatah Melayu sebagai simbol penyampaian beliau; Adeputra Masri, terkenal dengan lukisan media campuran bertemakan politik dan realiti kehidupan rakyat biasa; Latif Maulan, pelukis photorealist figurative hebat Malaysia; Anne Samat dan Azrin Mohd, membina reputasi mereka di pameran berprestij Saatchi di United Kingdom; serta Anisa Abdullah, pelukis wanita yang sedang menempa nama dalam dunia seni kontemporari.

Turut menyumbangkan hasil seni mereka adalah pemenang Malaysian Emerging Artist Award (MEAA), Shafiq Nordin dan Sabihis Md Pandi yang semestinya menjadikan pameran ini lebih bermakna. Kesemua pengkarya seni ini diberi tanggungjawab untuk menghasilkan sebuah karya visual berdasarkan pemahaman dan interpretasi mereka terhadap puisi-puisi Pyanhabib yang diangkat daripada bukunya, Balada Pyanhabib (ITBM, 2012).

Tujuan utama projek ini adalah untuk memberi penekanan kepada interaksi antara pengkarya seni dengan sastera. Kebolehan pengkarya seni untuk memahami teks sastera dan menterjemahkannya kepada imej visual merupakan keunikan yang ada pada pameran ini. Ia juga sebagai satu antara usaha mempersembahkan puisi dalam medium berbeza, iaitu menerusi lakaran seni visual, selain medium biasa seperti nyanyian dan pementasan teater.

Turut diperkenalkan dalam majlis ini adalah buku terbitan terkini hasil usaha sama antara ITBM dan HOM Art Trans berjudul Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-pusi Pyanhabib. Buku yang mengandungi visual lukisan yang dipamerkan ini turut memuatkan karya puisi baharu Pyanhabib. Pameran dan penerbitan buku ini merupakan langkah rintis bagi siri pameran anjuran HOM Art Trans sebagai satu antara projek yang memberi penekanan kepada penghasilan karya visual interpretasi daripada teks sastera oleh pemuisi dan penulis terkenal tanah air. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY