KUALA LUMPUR, 27 Nov – Zahirkan Keprihatinan…….. Satu perhimpunan besar-besaran dirancang diadakan 4 Dis depan bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia berhubung isu Rohingya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata perhimpunan akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin lain seperti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Zahid menggesa pemimpin parti lain seperti PKR dan Amanah supaya
menyertai perhimpunan itu yang lokasinya akan ditetapkan kelak.

“Kita ketepikan perbezaan politik dan sebagai umat Islam kita berkumpul
bersama-sama bagi menzahirkan rasa keprihatinan terhadap saudara Islam kita di
Myanmar,” katanya.
Beliau berucap merasmikan majlis Malam Jalinan Kasih Suluh Budiman anjuran
Persatuan Alumni Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini
malam tadi.
Ahmad Zahid berkata dalam isu Rohingya, Malaysia telah melakukan tindakan
melebihi negara lain termasuk memberi anak-anak etnik Rohingya yang lahir di
negara ini rekod kelahiran supaya mereka boleh menjalankan kegiatan menimba ilmu
mengikut keperluan mereka.
“Tidak memperkecilkan negara lain, kita telah perlihatkan keprihatinan yang
mendalam terhadap isu Rohingya ini kerana sebagai umat Islam kita akan rasa
seperti cubit peha kiri peha kanan (turut) terasa, apatah lagi jika mereka
ditimpa kesusahan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia menyumbang kepada tabung bagi
membantu masyarakat Rohingya yang dianiaya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia akan menghantar nota bantahan
kepada kerajaan Myanmar bagi menuntut keprihatinannya berhubung dakwaan
penindasan terhadap masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine.
“Mesyuarat kabinet telah buat keputusan nota bantahan akan dihantar kepada
kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
“Menurut piagam yang ada memang kita tidak boleh mencampuri urusan dalaman
negara lain, tetapi kita mahu beritahu bahawa rakyat Malaysia mahu kerajaan
Myanmar mengambil langkah prihatin terhadap rakyat Rohingya di Myanmar,”
katanya. – WD MY