DHAKA, 21 OKT – TEMBAK…. Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina menggesa situasi tenang di negara itu selepas sekurang-kurangnya empat terbunuh apabila polis melepaskan tembakan ke arah ribuan penduduk Islam yang membuat demonstrasi, membantah mesej Facebook didakwa menghina Nabi Muhammad.

Serangan dalam talian dianggap menghina agama menjadi cabaran terbesar buat pasukan keselamatan di Bangladesh di mana penduduk Islam berjumlah 90 peratus di negara dengan 168 juta orang itu.

Kira-kira 20,000 penduduk Islam membantah di bandar Borhanuddin di pulau terbesar negara itu di Bhola, menggesa seorang lelaki Hindu yang didakwa mencetus ketegangan agama menerusi mesej dalam talian dihukum mati.

Polis berkata, mereka melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas sesetengah perusuh membaling batu ke arah anggotanya.

“Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala sehingga 50 orang cedera,” kata inspektor polis Salahuddin Mia.

Katanya, tambahan polis dan pengawal sempadan dikejarkan ke pulau itu menaiki helikopter.

Angka maut dijangka meningkat dengan pegawai perubatan tempatan, Dr Tayebur Rahman memaklumkan, sekurang-kurangnya tujuh daripada 43 yang dibawa ke hospital dalam keadaan parah.

Hasina berkata, akaun Facebook lelaki yang didakwa menghasut ketegangan agama digodam oleh seorang individu Muslim dan digunakan untuk ‘menyebar pembohongan.’

Timbalan ketua polis Bhola, Sheikh Sabbir berkata, lelaki terbabit datang ke balai polis pada Sabtu mendakwa akaun Facebook miliknya digodam. -WD MY