SEOUL, 5 APRIL – KAWASAN….. Seorang terbunuh manakala lebih 4,000 lagi penduduk Korea Selatan terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat kebakaran hutan, lapor agensi berita Yonhap hari ini.

Difahamkan kebakaran bermula di timur wilayah Gangwon semalam dan merebak ke sebuah pusat peranginan tepi pantai di bandar Sokcho.

Ia memusnahkan kawasan seluas kira-kira 385 hektar dan 318 kediaman, gudang dan bangunan lain, lapor sumber kerajaan.

Kira-kira 4,230 penduduk dipindahkan ke gimnasium dan sekolah, manakala 52 sekolah akan ditutup pada hari ini.

Presiden Moon Jae-in mengarahkan penggunaan semua sumber yang ada untuk memadamkan kebakaran hutan terbabit, kata Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan dalam satu kenyataan.

Kerajaan juga sudah mengerahkan kira-kira 45 helikopter, 77 jentera bomba dan 13,000 kakitangan dari seluruh negara untuk mengawal kebakaran itu, kata Yonhap. – WD MY