JOHOR BAHRU, 24 Mac – Tumpas… Polis Johor menahan 12 lelaki dan merampas hampir 50 kilogram dadah disyaki syabu dan ganja bernilai RM2.42 juta selain senjata api dalam beberapa siri serbuan sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata dalam serbuan pertama pada Rabu lalu, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam sebuah kereta BMW model 528i di Larkin dekat sini.

Katanya, hasil pemeriksaan kereta berkenaan polis menemui pistol jenama Glock, 25 peluru 9MM, dua kelopak peluru dan wang tunai lebih RM20,000.

“Susulan penahanan dua lelaki, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Narkotik melakukan beberapa siri serbuan sekitar Wilayah Iskandar dan berjaya menahan 10 lagi individu.

“Polis turut merampas satu paket plastik dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 5.82 gram, satu paket tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 1.59 gram, 46 ketulan mampat dadah disyaki syabu seberat 46 kilogram dan 25 kotak rokok putih.

“Selain itu, polis turut menemui pistol jenis Revolver .38, 123 peluru .38, 35 peluru 9MM dan 112 pil kuda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Mohd Khalil berkata, semua 12 yang ditahan berusia antara 20 hingga 46 tahun dan anggaran nilai semasa dadah jenis syabu, ganja dan pil kuda yang dirampas ialah RM2.42 juta.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960, Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam,” katanya. -WD MY