PUTRAJAYA, MAC 21:ENAM….Enam individu termasuk dua bergelar Datuk direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah milik kerajaan Selangor di Mukim Ijok.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Khir Nizam Jemari di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, pagi ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua mereka berusia antara 34 tahun hingga 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di antara jam 12.45 tengah hari dan 4 petang, semalam.

Antara yang ditahan juga termasuk dua beranak iaitu bapa dan anak lelakinya.

Penahanan reman enam individu berkenaan berkait dengan isu penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Penjualan tanah berkenaan menimbulkan banyak kontroversi selain turut dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk peneroka.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad memaklumkan, siasatan pihaknya merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.

Susulan itu, katanya, pihaknya turut merampas beberapa dokumen penting daripada tiga syarikat berkaitan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, SPRM sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk yang dipercayai berada di luar negara.

Secara keseluruhan, pasukan penyiasat SPRM sudah membekukan sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik kesemua suspek.-MY WD