KUALA LUMPUR, 21 April – Projek pembinaan projek Mass Rapid
Transit (MRT) kini mencapai tahap kemajuan 61.9 peratus, kata MRT Corp.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata kerja
pembinaan terowong telah pun siap sepenuhnya manakala kerja bawah tanah,
termasuk pembinaan stesen, mencapai kemajuan 76 peratus, melebihi jangkaan awal
pada tahap 74 peratus.

“Ini (tahap kemajuan) berjaya dicapai hasil kecekapan kerja serta jalinan
kerjasama sesama pekerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis peringatan
penyempurnaan kerja pembinaan terowong, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad
Phesal Talib.

Shahril berkata kerja pembinaan MRT dari Sungai Buloh ke Jalan Semantan,
dijangka siap pada hujung tahun depan, manakala kerja pembinaan dari Jalan
Semantan ke Kajang dijangka siap pada Julai 2017.

Sementara itu, MRT Corp akan mengadakan paparan awam selama tiga bulan untuk
projek MRT fasa kedua bermula pertengahan bulan depan di 15 lokasi terpilih.

Katanya MRT Corp menjangkakan akan memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat untuk pembinaan projek berkenaan yang merangkumi
perjalanan dari Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya beberapa bulan selepas paparan
awam, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata MRT mampu memacu Kuala Lumpur untuk
menjadi bandar bertaraf dunia.

Kata beliau MRT mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang akan
mendatangkan pelbagai manfaat, khususnya menjimatkan perbelanjaan, mengurangkan
kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan di jalan raya.

“Oleh itu, projek MRT sebagai pengangkutan awam bertaraf dunia akan memberi
banyak manfaat kepada orang ramai di Lembah Klang, yang dijangka mampu menjadi
penyelamat kepada masalah kesesakan lalu-lintas,” katanya.

Beliau berkata kawasan permukaan bagi laluan MRT bawah tanah boleh digunakan
untuk pembangunan lain, sekali gus memaksimumkan manfaat kepada penduduk.
-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY