KANGAR, 17 Okt – Meningkat Jumlah Deposit…..Jumlah deposit Tabung Haji meningkat dengan memberangsangkan bagi tempoh 10 tahun terakhir yang kini mencecah RM62 bilion,
kata Ketua Pegawai Operasi TH Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Menurutnya dalam tempoh berkenaan jumlah deposit dicatatkan bertambah
sebanyak RM3 bilion setahun sekali gus menunjukkan tahap keyakinan umat Islam
terhadap agensi itu sangat tinggi.

Berdasarkan rekod agensi itu juga, sebanyak 111,329 pendeposit baharu
TH dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Perkembangan ini sangat positif dari segi ekonomi, orang ramai tidak perlu
ragu kerana apabila membuat simpanan menerusi TH, manfaat utama kepada penyimpan
selain menunaikan fardu haji ialah deposit mereka dijamin sepenuhnya,” katanya.
Adi Azuan bercakap kepada media hari ini.

Sementara itu Adi Azuan menyeru orang ramai agar membuat pendaftaran haji
sejak awal tanpa mengira usia bagi meminimumkan masalah menunggu giliran yang
terlalu lama.

Katanya, sebanyak dua juta umat Islam yang berdaftar dengan TH di negara ini
terpaksa menunggu giliran selama 92 tahun bagi menunaikan ibadah haji.

“Tempoh ini sangat lama, dan kerana itulah orang ramai diseru mendaftar
secepat mungkin agar tempoh berkenaan tidak menjadi lebih lama, jika mereka
berlengah mungkin tempoh itu boleh mencecah 100 tahun atau lebih,” katanya.
Selain itu katanya, orang ramai digalak memanfaatkan ‘Perkhidmatan Bergerak

TH Komuniti’ secara optimum bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan seperti di
kaunter-kaunter pejabat cawangan TH.

TH Komuniti yang menggunakan van jenis Westar Maxus v80 2.5 Diesel Turbo,
dilengkapi pelbagai peralatan canggih, merupakan antara inisiatif ‘merakyatkan
perkhidmatan’ melalui program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (MOBILE CTC)
bagi penduduk luar bandar.