KUALA LUMPUR, 7 Nov – Bermula Tahun Hadapan….. Ke semua projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diumum pada pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini akan dimulakan seawal tahun depan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membuktikan bahawa perhatian tinggi telah diberikan kepada 7.8 juta atau 26.9 peratus penduduk di luar bandar.

“Penambahan peruntukan sebanyak RM5.8 bilion pada tahun ini berbanding RM4.5 bilion tahun lepas merangkumi semua faktor termasuk infrastruktur, prasarana, ekonomi, perumahan dan pendidikan.

“Banyak projek penting luar bandar seperti rumah PPRT dan kita buat keputusan menambah nisbah lebih untuk baik pulih. Dahulu, 70 peratus pembaikan dan 30 peratus untuk rumah baharu, tetapi pada tahun depan kita tingkatkan kepada 85 peratus bajet untuk pembaikan dan 15 peratus pembinaan rumah baharu.

“Untuk bina baharu kita tidak menumpukan kepada perumahan berkelompok tetapi kita utamakan yang dibina di atas tanah sendiri,” katanya.

Ismail berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), hari ini.

Dalam pada itu kata Ismail, projek pelebaran jalan raya juga menjadi keutamaan namun semuanya tertakluk kepada tuan punya tanah.

“Dahulu lapan kaki tetapi hari ini anak-anak sudah ada kereta dan sebagainya. Jadi kita lebarkan menjadi 10 kaki tertakluk kepada persetujuan tuan tanah,” jelasnya.

Sebelum ini, Ismail menjelaskan, peruntukan Bajet 2017 mengurangkan jurang pembangunan dan migrasi penduduk desa ke bandar untuk mencari pekerjaan. – WD MY