KUALA LUMPUR, 16 MAC – OPS… Sebanyak 798 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Bersepadu di Tol Duta menghala ibu negara, malam tadi.

Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Abdul Tolib Ahmad, berkata kebanyakan notis saman itu membabitkan dua kesalahan utama iaitu tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, dengan masing-masing 447 dan 296 saman.

Katanya, operasi selama empat jam berakhir pada jam 12 tengah malam itu turut membabitkan lima agensi lain iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen (Imigresen) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan jumlah kekuatan 112 anggota.

“Fokus utama kita mengadakan operasi bersepadu ini adalah bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu kenderaan perdagangan, perkhidmatan awam dan persendirian, terutama penunggang motosikal yang menjadi penyumbang utama kemalangan jalan raya.

“Kita sentiasa berusaha mencari jalan mengurangkan kes ini justeru, langkah mengadakan operasi dengan kerjasama agensi lain sekurang-kurangnya mampu membendung kes sedemikian daripada terus meningkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Plaza Tol Duta.

Abdul Tolib berkata dalam operasi itu sebanyak 2,358 kenderaan diperiksa dengan 10 buah motosikal disita.

Selain itu, dua tangkapan turut dibuat AADK membabitkan seorang lelaki dan wanita berusia 44 dan 21 tahun.

Beliau berkata, Imigresen turut menahan 20 warga asing atas pelbagai pelanggaran mengikut Akta Imigresen, termasuk tiada dokumen dan dokumen palsu.

Sebanyak 12 notis saman dikeluarkan JSPT manakala, JAS mengeluarkan empat notis daripada 25 kenderaan yang diperiksa. – WD MY