KUALA LUMPUR, 22 Nov – Bentang…… Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 akan dibentang di Dewan Rakyat pada esok atau lusa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebuah jawatankuasa pemilih dianggotai Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam akan dibentuk bagi membincangkan dengan lebih terperinci mengenai rang undang-undang itu.

Katanya, beliau selaku Ketua Whip Barisan Nasional (BN) mengambil inisiatif untuk meninjau pendapat daripada Ahli Parlimen Islam mengenai cadangan pindaan kepada RUU 355 itu.

“Ia dibuat kerana terdapat pelbagai tafsiran terhadap usul persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) apabila undang-undang ini dibawa ke Parlimen.

“Oleh demikian, penjelasan yang kita bincangkan tadi antaranya mengambil keputusan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan dibentuk yang akan membabitkan sekali Ahli Parlimen Islam dan Bukan Islam untuk memperincikan, memperhalusi dan memurnikan jika terdapat beberapa unsur yang tidak jelas mengenai pembahagian kuasa yang ada pada mahkamah syariah dan mahakamah sivil,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat mengenai RUU 355 di bangunan sementara Parlimen yang turut dihadiri Ahli Parlimen Islam daripada kerajaan dan pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, sudah dijelaskan dalam taklimat itu bahawa undang-undang berkenaan adalah pertamanya khusus untuk orang Islam.

Kedua, tiada mana-mana peruntukan yang termaktub dalam undang-undang dan yang membabitkan kuasa mahkamah sivil yang akan diambil alih untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah.

“Yang ketiga, RUU 355 ini adalah hanya untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja,” katanya. -WD MY