KUALA LUMPUR, 27 Mei – Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Kementerian Kerja Raya telah berjaya
menyiapkan 4,303 atau 84 peratus projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia
Ke-10 (RMK10).

Menurut beliau, sehingga 31 Mac, kementerian itu diamanahkan melaksanakan
sebanyak 5,095 projek di seluruh negara.

“Daripada keseluruhan jumlah itu, 358 projek lagi dalam peringkat
pembinaan, manakala 434 projek di peringkat prapembinaan.

“Sebanyak 770 projek sahaja daripada keseluruhan projek RMK10 yang diselia
Jabatan Kerja Raya (JKR) lewat disiapkan mengikut jadual asal,” katanya ketika
menjawab soalan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) pada sesi
soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Abd Aziz ingin tahu jumlah kontraktor yang gagal dan lewat menyiapkan
projek-projek kerajaan serta agensinya sejak 2010 hingga 2014.

Fadillah berkata kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut
jadual yang ditetapkan telah dikenakan denda ganti rugi, manakala 128 kontrak
projek RMK10 ditamatkan berikutan kegagalan pihak kontraktor.

“Kontraktor yang ditamatkan berkenaan telah diambil tindakan oleh Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) termasuk tidak lagi dibenarkan
untuk mengambil bahagian dalam perolehan atau tender projek kerajaan
dalam tempoh masa tertentu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh), Fadillah berkata
kontraktor projek Kolej Matrikulasi Kelantan di Pasir Puteh telah diambil
tindakan kerana gagal menyiapkan projek itu mengikut jadual asal dan
didenda, membiayai serta membaiki kelemahan yang wujud semasa pembinaan kolej
terbabit.

“Sementara itu, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2)
bukan di bawah seliaan JKR kerana Malaysia Airports Berhad (MAB) melantik
konsultan swasta untuk menguruskan projek terbabit,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY