MUAR, 9 Mac – Abdul Rahman Md Yassin, 76, abang kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini kira-kira jam 7.45 malam tadi akibat sakit tua.

Allahyarham dibawa ke hospital itu sejak semalam untuk mendapatkan rawatan selepas kelihatan lemah dan batuk.

Anak kedua, Rashid, 47, berkata seorang daripada adiknya membawa Allahyarham ke hospital selepas mendapati keadaan bapa mereka semakin lemah.

“Allahyarham bapa saya adalah seorang guru agama dan pernah bertugas di Sekolah Arab Saadiah, Jalan Bakri di sini. Sebelum ini, Allahyarham juga turut mengidap beberapa jenis penyakit termasuk buah pinggang dan masalah paru-paru,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Rashid berkata, ahli keluarga ada bersama ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan mereka reda dengan pemergiannya.

Abdul Rahman dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 Bakri di sini, kira-kira jam 10 pagi esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed, berkata Timbalan Perdana Menteri dijangka pulang ke Muar kira-kira jam 8 pagi esok untuk menghadiri majlis pengebumian jenazah abangnya.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY