WASHINGTON, 3 Dis – GANTUNG….ABC News hari ini, menggantung tugas ketua wartawan penyiasatannya, selepas beliau melakukan kesilapan ketika membuat laporan mengenai bekas penasihat keselamatan kebangsaan, Michael Flynn.

Kesilapan wartawan itu menyebabkan nilai stok, dolar dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat dilaporkan merudum pada Jumaat lalu.

“Kami sangat menyesali dan memohon maaf di atas kesalahan serius yang berlaku semalam.

“Maklumat itu didapati salah, selepas beberapa jam, namun kami terus memperbetulkan kesilapan itu menerusi radio dan dalam talian,” kata ABC News dalam satu kenyataan.

“Berikutan itu, Brian Ross akan digantung tugas selama empat minggu tanpa gaji berkuat kuasa serta merta,” kata ABC News, yang dimiliki Walt Disney Co.

Semalam, Flynn mengaku bersalah kerana berbohong kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenai hubungannya dengan Russia, dan setuju bekerjasama dengan pendakwa raya yang menyiasat pasukan kempen Presiden Donald Trump.

Berikutan itu, ABC News yang memetik sumber melaporkan bahawa Flynn bersedia memberi keterangan bahawa Trump mengarahkannya untuk menghubungi Russia ketika beliau menjadi calon presiden.

Susulan laporan berkenaan, indeks utama Wall Street turun lebih daripada satu peratus.

Tidak lama kemudian, ABC News membuat pembetulan terhadap laporan awalnya, bahawa sumber itu sebenarnya mengatakan Trump mengarahkan Flynn dan ‘sekumpulan penasihat kanan’ supaya mencari jalan bagi memperbaiki hubungan dengan Russia.

“Selepas memenangi pilihan raya, Trump mengarahkan Flynn untuk menghubungi pegawai Russia mengenai beberapa perkara, termasuk mengadakan kerjasama bagi menentang militan Daesh,” kata ABC News. – WD MY