KUALA LUMPUR, 14 Mac – SAMAN….. “Saya akan saman Lim Guan Eng habis-habisan,” kata¬† Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung kes saman beliau terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Ahli Parlimen Baling itu berkata, fitnah yang dilemparkan pemimpin pembangkang itu bukan saja mencemarkan nama baiknya, malah turut menjejaskan imej Lembaga Tabung Haji (TH) dan UMNO, selain masyarakat di Parlimen Baling.

Beliau berkata, selama ini banyak fitnah dihadapinya, namun ia lebih kepada peribadi dan beliau mengambil pendekatan tidak mahu melayan dan dibiarkan begitu saja.

“Bagaimanapun, kali ini Guan Eng sudah melampaui batas apabila bukan saja memfitnah saya, malah mengheret sama TH, parti (UMNO) dan masyarakat di Baling.

“Saya tidak akan berdiam diri dan akan saman beliau (Guan Eng) habis-habisan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) anjuran Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) hari ini.

Minggu lalu, Guan Eng diberi tempoh empat hari untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik semua kenyataan fitnahnya yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP enggan memohon maaf dan mencabar Abdul Azeez meneruskan saman berkenaan.

Pagi Isnin lalu, Abdul Azeez menerusi peguam, Datuk Seri Jaharberdeen Mohamed Yunoos, menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Guan Eng di Pejabat Ketua Menteri. – WD MY