Abdul Latif Dan Siti Rahmah Terima Anugerah Sukan Negara

0
171

KUALA LUMPUR, 27 April – Terima…….Abdul Latif Romly dan Siti Rahmah Mohamed Nasir memahat sejarah sukan negara apabila dinobatkan Olahragawan/Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2016 malam tadi.

Sejak anugerah berkenaan mula dipertandingkan pada 1966, ini kali pertama atlet paralimpik kebangsaan memenangi anugerah sukan paling berprestij itu menerusi Abdul Latif yang sebelum ini didominasi atlet-atlet normal.

Siti Rahmah pula muncul atlet silat wanita pertama dinobatkan Olahragawati Kebangsaan dengan mengetepikan beberapa calon termasuk ratu terjun, Pandelela Rinong.

Pada majlis gilang-gemilang di sebuah hotel di sini, Abdul Latif dan Siti Rahmah yang segak disarungkan Jaket Kuning membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, Piala Pusingan dan hadiah iringan berserta sijil.

Hadiah kepada kedua-dua anugerah utama itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Kejayaan Abdul Latif yang memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 pada Sukan Paralimpik Rio 2016 menjadi antara faktor utama kejayaannya, sekali gus menafikan calon lain seperti jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan atlet lumba basikal Azizulhasni Awang.

Pada temasya di Rio, Abdul Latif mencipta kejayaan membanggakan apabila memecahkan tiga rekod dunia dalam satu hari apabila melakukan lompatan 7.47 meter (m) diikuti 7.54m sebelum menamatkan dengan jarak 7.60m untuk memadam rekod lama dunia, 7.35m.

Kegemilangan yang dicipta atlet berusia 19 tahun dari Perlis itu memadam sedikit kedukaan peminat sukan negara selepas Malaysia terus kempunan menamatkan kemarau untuk memenangi pingat emas di Olimpik Rio, sebulan sebelum itu.

Kejayaan Siti Rahmah pula didorong atas lakaran kebanggaan yang diraih pada tahun lalu termasuk bergelar juara dunia kelas Putri E di Kejuaraan Silat Sedunia Ke-17 di Indonesia 2016.

Selain kejuaraan dunia, Siti Rahmah tahun lalu turut memenangi tiga lagi kejuaraan apabila muncul juara kelas yang sama pada Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belanda pada Ogos selain menang di World Martial Art Championship 2015 dan Kejuaraan Silat Asia Tenggara 2016.

Kejayaan Abdul Latif turut menyaksikan tiada pemenang bagi kategori Olahragawan Paralimpik dengan calon lain untuk anugerah berkenaan termasuk atlet boling, Muhammad Rafiq Ismail; atlet bina badan, Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah dan pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari.

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula menjadi milik Siti Noor Radiah Ismail yang juga pemenang pingat gangsa di temasya Paralimpik Rio 2016. – WD MY