TANAH RATA, JAN 14: MALAYSIA BAHARU….“Bukankah sukarelawan bermaksud orang yang beri khidmat tanpa menerima sebarang ganjaran? Apakah sekarang perkataan ‘sukarelawan’ sudah ada maksud baru di bawah Malaysia Baharu?”

Itu soalan yang dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkaitan isu pembayaran balik kos petrol kepada sukarelawan yang pergi ke Tanah Rata dari kawasan pedalam pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands oleh Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu.

Wee berkata perkara tersebut ‘tidak masuk akal’ memandangkan kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi mengatakan bahawa pemberian duit minyak adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Saya tidak tahu sama ada perkara ini dihalalkan disebabkan kerajaan baharu, Malaysia Baharu.

“Apakah ini acuan Pakatan Harapan (PH) yang kita hendak?” soalnya pada sidang media selepas sesi dialog bersama calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor pada Ahad.

Pada Ahad, beberapa keping gambar menunjukkan seorang wanita yang memakai baju PH yang seolah-olah sedang mengedarkan wang kepada Orang Asli Cameron Highlands tular di laman media sosial.-MY WD