KUALA LUMPUR,JULAI 4:ADAM RAYQAL… “Adam sayang..sejuk ya dalam peti itu..Tak apa sayang nanti masuk syurga semua indah-indah yang Adam dapat.”

Itu luahan ibu kepada Adam Rayqal Mohd. Sufi berusia lima bulan yang ditemukan maut dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini malam tadi.

Ibu kepada bayi tersebut menggunakan nama Farah Madi dalam akaun laman sosial Facebook miliknya cukup sedih dengan kematian menyayat hati anak pertamanya hasil perkahwinan dengan suami, Mohd. Sufi Naeif.

“Ingat pesan mama jaga diri kat sana.

“Nanti mama papa datang ye sayang kita mandi buih lagi.. Innalillahiwainnalillahirojiun..,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Farah juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan, saudara mara dan rakyat Malaysia kerana turut sama berusaha mencari Adam dan memohon didoakan kebaikan kepada anaknya itu.

Kisah Adam Rayqal tular dalam Facebook apabila bapanya, Mohd. Sufi memuat naik status anaknya diculik ketika mahu mengambil di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves semalam.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat bayi itu ditemukan pukul 11 malam dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau di bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan.

Menurut Ali, susulan itu, pihaknya menahan pengasuh berusia 33 tahun berkenaan bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun  siasatan lanjut. – MY WD